Sebilangan besar pemilik kenderaan, tanpa mengira jenis kenderaan, pasti ingin mengubah suai kenderaan kesayangan mereka sebagai simbol pemilikan – bermula daripada tahap yang sederhana sehingga yang ganas. Motosikal sememangnya sangat sesuai untuk diubah suai, dari pelekat sehingga pengubahsuaian menyeluruh. Banyak pengeluar motosikal kini turut menawarkan khidmat ubah suai dari kilang, dan kini giliran Ducati pula dengan melancarkan program Ducati Factory Made, yang tersedia untuk model Ducati Multistrada V4 (MTS V4) sebagai permulaan. Oh, program ini hanya tersedia di Eropah setakat ini. Dengan program ini, pembeli boleh memilih warna dan aksesori tertentu ketika memesan MTS V4 mereka. Motosikal tersebut kemudiannya akan dibina terus di barisan pengeluaran di Borgo Panigale mengikut kemahuan pembeli. Ini dapat mengelakkan pemasangan kemudian di pengedar atau bengkel pihak ketiga, justeru tidak perlu menanggalkan panel motosikal baharu untuk dicat semula. Ia juga memastikan jaminan kilang kekal. Apakah yang boleh dipilih oleh pembeli? Pelanggan boleh memilih daripada pelbagai kemasan cat dan skema grafik yang dikumpulkan mengikut tema tertentu. Terdapat warna tradisional Ducati, kemasan gloss, pilihan matt, serta set skema “Performance” yang lebih sporty dan yang diilhamkan daripada Ducati Corse. Oh ya, Ducati juga bekerjasama dengan Automobili Lamborghini untuk menghasilkan beberapa warna Ad Personam Lamborghini, termasuk Viola Pasifae dan Verde Scandal. Walaupun ini bukan kerjasama pertama antara kedua-dua jenama, ia adalah kali pertama pilihan cat Lamborghini ditawarkan untuk model pengeluaran biasa. Program Ducati Factory Made ini juga membenarkan pembeli mengubah suai komponen seperti pilihan rim sama ada rim tuang, rim tempa atau rim jejari, serta warna berbeza untuk komponen seperti sub-rangka belakang dan kaliper brek. Terdapat juga pilihan ketinggian tempat duduk untuk penunggang dan pembonceng, serta tetapan ketinggian suspensi, membolehkan motosikal disesuaikan dengan lebih sesuai dengan penunggang sebelum ia tiba ke pengedar. Pakej aksesori biasa – Touring, Adventure, Sport, Tech, dan Enduro – masih boleh ditambahkan dalam tempahan yang sama. Program ini turut merangkumi Multistrada V4 Pikes Peak dan RS, walaupun perubahan di sana lebih tertumpu kepada pelarasan ergonomik dan butiran kosmetik terpilih. Ducati Factory Made kini boleh diakses di laman web Ducati. Pelanggan boleh mengkonfigurasi motosikal mereka secara dalam talian dan menghantar spesifikasi siap kepada pengedar untuk sebut harga, dengan pihak kilang akan membina motosikal mengikut tempahan tersebut terus dari hari pertama.