Ducati DesertX (2026) generasi kedua yang baharu sepenuhnya telah dilancarkan, dan seperti yang dijangkakan, ia menampilkan enjin V2 baharu. Prototaip DesertX baharu ini mula dipratonton di pameran EICMA 2025 di Milan, Itali, pada November lalu. Ia dijadualkan tiba di bilik pameran di benua Eropah bermula April, dan kemungkinan pada separuh kedua 2026 untuk Malaysia. Ducati menyatakan bahawa generasi baharu DesertX ini adalah hasil usaha mereka untuk menerokai potensi platform tersebut dengan lebih lanjut, dan menggabungkan pengalaman yang diperoleh daripada perlumbaan kompetitif di Erzbergrodeo, Rally of Albania, Transanatolia, dan NORRA Mexican 1000 Rally, antara lainnya. Ciri-ciri utama Bermula dengan enjin, ia kini menggunakan enjin V2 890cc baharu yang turut menggerakkan Panigale V2 dan Monster V2, sekaligus menggantikan enjin Testastretta V2 937cc lama. Spesifikasi enjin ialah 890cc, penyejukan cecair, V-Twin 90° dengan Pemasaan Injap Berubah (IVT), menghasilkan 110 hp @ 9,000 RPM dan 92 Nm @ 7,000 RPM. Ia ditala untuk menyediakan 70% (64.4 Nm) daripada tork maksimum dari serendah 3,000 RPM. Seterusnya, nisbah gear disesuaikan dengan gear pertama hingga keempat yang lebih rendah untuk pemanduan teknikal yang perlahan, dan gear keenam yang lebih tinggi untuk meningkatkan kecekapan bahan api dan keselesaan di lebuh raya. Penukaran minyak enjin ditetapkan pada setiap 15,000 km atau dua tahun, dan pemeriksaan kelegaan injap pada setiap 45,000 km. Rangka monocoque baharu menggunakan enjin sebagai anggota tegasan dan berfungsi sebagai kebuk udara. Kedudukan kebuk udara baharu menawarkan capaian yang lebih baik ke penapis udara. Rangka belakang jenis trellis keluli membolehkan capaian lebih mudah ke komponen enjin. Lengan ayun aluminium adalah unik untuk DesertX dan dibina dengan kekuatan lebih tinggi untuk tunggangan di atas rupa bumi teknikal. Brek hadapan menampilkan cakera 305mm baharu, pad brek yang khusus, serta pam induk dipasang secara paksi. Sistem suspensi juga telah dikemaskini dengan fork Kayaba baharu yang mempunyai pelarasan hidraulik untuk memberikan tindakan lebih lancar, bersama pautan progresif untuk monoshock belakang. Roda bersaiz 21-inci depan dan 18-inci belakang seperti sebelumnya, dipasang dengan tayar Pirelli Scorpion Rally bersaiz 90/90-21 di hadapan dan 150/70-18 di belakang. Ergonomik telah disemak untuk meningkatkan pemanduan sukan di jalan raya dan kawalan lebih baik ketika menunggang off-road. Pemijak kaki dialihkan ke belakang, manakala tempat duduk dan hendal dijulurkan ke hadapan. Begitu juga, tangki bahan api polimer 18 liter baharu adalah lebih langsing dan ringan, dengan sebahagian besar jisimnya diletakkan lebih rendah. Ketinggian tempat duduk bermula pada 880 mm tetapi boleh diturunkan kepada 840 mm dengan pilihan kit tempat duduk dan suspensi rendah. Berat basah yang terhasil adalah 209.5 kg, iaitu sedikit lebih ringan daripada model lama, dengan enjin menyumbang sebahagian besar penjimatan berat. Sebagai sebuah Ducati, ia dilengkapi dengan banyak bantuan elektronik penunggang, bermula dengan IMU enam paksi yang mengawal Cornering ABS, Traction Control, Wheelie Control, dan tetapan Enjin-Brek yang boleh dilaras melalui 6 peringkat. Terdapat juga 6 mod tunggangan, 2 daripadanya untuk tunggangan off-road. Ducati menyatakan quickshifter yang dikemas kini memberikan pertukaran gear lebih tepat dan kurang terdedah kepada kerosakan akibat kotoran dan hentakan. Terdapat papan pemuka TFT 5-inci baharu, dan dua port USB. Ia hanya tersedia dalam warna Matte Star White Silk buat masa ini. (Ia juga kelihatan cantik dalam skema penyamaran prototaipnya.) Ducati DesertX 2026 berharga £14,995 (RM78,957.96) untuk pasaran UK. DesertX sebelum ini berharga dari RM124,900 untuk varian standard hingga RM160,900 untuk versi DesertX Rally.