Kuala Lumpur, 28 April 2026 – BMW Motorrad Malaysia baru-baru ini menganjurkan MYRIDE & GS Challenge 2026, sebuah acara dua hari yang berlangsung di Golden Palm Tree, Sepang Gold Coast. Acara ini menghimpunkan pemilik BMW Motorrad, pasangan, peminat, Biking Buddies serta penunggang GS dalam satu hujung minggu yang meraikan kepelbagaian pengalaman dalam komuniti BMW Motorrad. Daripada suasana santai dan mesra keluarga menerusi MYRIDE hingga ke cabaran lasak GS Challenge, acara ini menawarkan aktiviti untuk setiap penunggang, pasangan mereka serta Biking Buddies. Benjamin Nagel, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkata, “Di BMW Motorrad Malaysia, kami percaya bahawa menunggang motosikal bukan sekadar perjalanan di jalan raya, tetapi juga mengenai individu, komuniti dan pengalaman yang menyatukan kita. Menerusi MYRIDE & GS Challenge 2026, kami telah mewujudkan sebuah platform yang mencerminkan kedua-dua nilai teras BMW Motorrad: keakraban dan kebersamaan komuniti melalui MYRIDE, serta elemen pengembaraan dan kemahiran yang menjadi identiti jenama GS. Kami amat teruja melihat acara tahun ini berkembang dengan penyertaan antarabangsa, di samping membuka peluang kepada dua penunggang Malaysia untuk mewakili negara ke GS Trophy Follow The Trails Romania 2026.” MYRIDE – Sambutan Komuniti Acara utama pada hujung minggu tersebut adalah MYRIDE, sebuah perhimpunan santai pada malam Sabtu yang menghimpunkan pemilik BMW Motorrad, pasangan dan Biking Buddies untuk saling berkenalan dalam suasana penuh kemesraan. Berlatarbelakangkan Sepang Gold Coast, acara mesra keluarga ini menampilkan makan malam di sekitar unggun api, persembahan muzik secara langsung, cabutan bertuah, permainan karnival serta pelbagai aktiviti lain yang menghidupkan suasana mesra serta inklusif untuk komuniti BMW Motorrad saling berinteraksi di luar aktiviti penunggangan. Pengalaman ini menjadi lebih istimewa dengan sokongan rakan penaja seperti Metzeler, GoPro, Marshall oleh Maudire Distribution, SnapClean, Lexin, Insta360, JW Sports dan Armorblaze, yang menyumbang kepada keseluruhan pengalaman melalui penawaran produk berkualiti tinggi, selaras dengan semangat prestasi serta pengembaraan BMW Motorrad. GS Challenge 2026 – Menguji Kemahiran dan Ketahanan Melengkapkan sambutan komuniti MYRIDE, GS Challenge 2026 membawa para penunggang ke persekitaran yang lebih mencabar dan berteraskan pengembaraan yang diinspirasikan oleh semangat BMW Motorrad GS. Sepanjang dua hari pertandingan berlangsung, lebih 60 peserta diuji melalui pelbagai cabaran menunggang dan navigasi yang direka untuk menilai kemahiran, ketahanan dan keupayaan adaptas – ciri-ciri yang menjadi teras pengalaman GS bagi penunggang di Malaysia dan seluruh dunia. Para peserta bertanding dalam empat kategori GS Challenge 2026 tahun ini iaitu GS Challenge, Open GS Challenge, Follow The Trails (FTT) On-Road dan FTT Off-Road. Menariknya, edisi 2026 menyaksikan kategori Open GS Challenge menerima penyertaan antarabangsa dari Singapura dan Serbia buat pertama kali, menandakan pencapaian yang signifikan apabila acara ini berkembang melangkaui sempadan Malaysia. Kategori baharu ini membolehkan pemenang GS Trophy Qualifier terdahulu serta pemenang GS Challenge yang menunggang motosikal BMW Motorrad yang diiktiraf untuk bersaing bersama penunggang Malaysia. Dua Penunggang Malaysia Layak ke Romania Di penghujung acara, Ashok Kumar Narayanasamy dan Mohd Firdaus Wan Mohd Nor muncul sebagai pemenang dalam kategori GS Challenge, sekali gus meraih penghormatan untuk mewakili Malaysia ke GS Trophy Follow The Trails Romania 2026. Kemenangan mereka merupakan kemuncak kepada cabaran sengit sepanjang dua hari, serta membuka lembaran baharu dalam pengalaman penunggangan mereka dengan menyahut cabaran pengembaraan di pentas antarabangsa sambil membawa Jalur Gemilang mewakili komuniti BMW Motorrad Malaysia. Galeri foto