Untuk makluman anda, industri dan perniagaan di Thailand juga terkesan dengan harga peningkatan mendadak buat harga bahan api, semuanya gara-gara konflik Ukraine dan Rusia. Bajet Oil Fuel Fund di negara itu buat subsidi diesel pula tengah sedikit. Disebabkan itu, kerajaan mereka kini sedang berunding dengan pengeksport minyak besar seperti Arab Saudi untuk membeli minya mentah di bawah harga pasaran.
Kalau anda nak tahu, harga minyak di Thailand sekarang yang dijual oleh syarikat minyak nasional Thailand adalah seperti berikut:
- Diesel: Dihadkan pada 30 THB per liter (RM 3.79)
- Petrol RON 91: 39.88 THB (RM 5.04) per liter
- Petrol RON 95: 40.15 THB (RM 5.07) per liter
Dari segi teknikal, semua petrol yang dijual di Thailand ada kandungan etanol minimum sebanyak 10% (E10). Secara tidak langsung, sistem bahan api buat kereta yang hendak dijual di pasaran Thailand perlu diubah suai untuk minyak bio E10.
Untuk pengetahuan anda, minyak gasohol E20 dan E85 juga ditawarkan yang mana masing-masing ada 20% dan 85% kandungan etanol. Harganya adalah seperti di bawah:
- Gasohol E20: 39.04 THB (RM 4.93) per liter
- Gasohol E85: 32.34 THB (RM 4.09) per liter
Namun begitu, bukan semua kereta boleh guna minyak E20 atau E85. Tetapi menariknya, model kereta yang boleh masuk dengan minyak E85 dapat menikmati diskaun 5% buat cukai eksais yang mana di sana, ia berada dalam julat 10 – 50%, bergantung pada kadar pelepasan karbon CO2.
Sebelum melonjaknya harga minyak tempoh hari, harga petrol di Thailand bermain dalam lingkungan RM 4 per liter.
Petrol RON 95 berharga RM 5.24 liter di Thailand.
Bagi anda yang belum tahu, Thailand hanya memberi subsidi bahan api untuk diesel dan LPG kerana inilah minyak yang diguna untuk industri dan perniagaan mereka. Petrol pula hanya untuk kenderaan persendirian.
Subsidi buat kedua-dua bahan api ini pula dibayar oleh Oil Fuel Fund Office (Offo). Baru-baru ini, mereka berbelanja sehingga 7 bilion THB (RM 880 juta) setiap bulan demi mengekalkan harga diesel di bawah parah 30 THB (RM 3.79) per liter. LPG pula dikekalkan pada 318 THB (RM 40.16) per silinder gas 15 kg.
DIsebabkan sudah terlalu berat, Offo terpaksa ambil pinjaman kecemasan dengan bank komersial sebanyak 30 bilion THB (RM 3.79 bilion).
Tetapi demi mengawal hutang, undang-undang Thailand (Offo Act) mengehadkan jumlah tersebut ke bawah 40 bilion THB (RM 5.05 bilion). Strategi ini cukup bernas kerana kerajaan mereka yang ditekan oleh kumpulan perindustrian dan dagangan akan berusaha untuk mencari alternatif bagi menampung subsidi berkenaan.
Secara amnya, populasi Thailand adalah 2x ganda daripada Malaysia. Subsidi bulanan mereka sebanyak RM 880 juta pun sudah membimbangkan tetapi Malaysia untuk Januari 2022 sahaja terpaksa membayar sehingga RM 7 bilion.
Berdasarkan purata harga bahan api mentah tahun 2021, Malaysia berbelanja sehingga RM 19 bilion setiap tahun untuk subsidi bahan api sahaja. Kalaulah konflik Ukraine dan Rusia berlarutan, jumlah ini boleh melonjak sehingga RM 24 bilion.
Semalam, Menteri Pengangkutan telah memberitahu dalam Dewan Rakyat bahawa subsidi bahan api akan dikaji semula. Jadi, bagaimana nasib yang bakal rakyat terima tidak lama lagi?
Juga baca: K'jaan – subsidi minyak sekarang perlu dikaji semula, mungkin dikhaskan untuk yang perlu sahaja!
Keyword: Bajet Thailand untuk subsidi minyak diesel dah ‘pokai’, kini runding dengan Arab Saudi