Tahukah anda bahawa pemandu kenderaan kecil yang dilanggar oleh kenderaan pacuan empat roda adalah 412 kali lebih berisiko untuk maut atau cedera parah?
Sejak akhir-akhir ini, semakin kerap pula kes kemalangan melibatkan kenderaan 4×4 tular di media sosial. Pemanduan secara berbahaya merupakan antara sebab utama kemalangan tersebut. Namun jika kenderaan 4×4 ini bertembung dengan kenderaan lain, besar kemungkinan kenderaan yang dilanggar itu akan mengalami kerosakan yang lebih teruk.
Berdasarkan perkongsian di Facebook Public Health Malaysia (PHM), sebuah analisa dan kajian dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Kemalangan Universiti Monash terhadap 1 juta rempuhan dan kemalangan kenderaan. Kajian tersebut mendapati bahawa pemandu kereta kecil yang dilanggar oleh kenderaan pacuan empat roda berdepan risiko maut atau cedera parah sebanyak 412 kali ganda.
Analisa terhadap 1 juta kemalangan itu meliputi kemalangan di Australia antara 1987 dan 2000, berdasarkan laporan polis.
Secara logiknya, kemalangan antara kereta kecil dengan kenderaan pacuan 4 roda (4×4) semestinya akan membawa risiko yang lebih besar kepada kenderaan kecil. Mana tidaknya, saiz kenderaan 4×4 yang besar juga membawa 40% kemungkinan untuk membunuh atau mencederakan pengguna jalan raya lain secara serius.
Oleh itu, pemandu 4×4 dinasihatkan agar tidak memandu trak pikap tersebut secara berbahaya kerana trak pikap lebih mudah untuk hilang kawalan ekoran keadaan pusat gravitinya yang tinggi. Tindakan menekan brek ketika memasuki selekoh dalam kelajuan tinggi sering menjadi antara punca kereta 4×4 ini hilang kawalan ketika dipandu.
Selain itu, berbanding dengan kenderaan penumpang lain seperti sedan atau MPV, kenderaan 4×4 mempunyai risiko sebanyak tiga kali ganda untuk terbalik dan berguling sekiranya terlibat dalam kemalangan.
Meskipun memandu trak pikap tidak menjadi satu kesalahan, namun sikap dan gaya pemanduan perlu dititikberatkan kerana ia bakal akan menentukan tahap keselamatan pemandu di jalan raya.
Ketika ini, permintaan terhadap kenderaan 4×4 semakin mendapat perhatian masyarakat berikutan kemampuannya untuk dipandu di permukaan jalan yang tidak rata serta kegunaan lasak untuk mengangkat pelbagai jenis barang . Malah ketika banjir, kenderaan ini juga sangat berguna untuk memindahkan dan menyelamatkan mangsa yang terjejas.
Meskipun kenderaan 4×4 memang sangat bagus dan berguna, namun sikap memandu sesetengah pemandu kenderaan 4×4 ini harus diperbaiki memandangkan ia berada di tahap membimbangkan. Isu ini bukan hanya berlaku di Malaysia, sebaliknya isu ini merupakan isu global yang telah diperhatikan sekian lama.
Ingatlah, kenderaan 4×4 tidak salah, tetapi sikap dan gaya pemanduan sesetengah pemandu yang perlu diubah. Meskipun saiz kenderaan 4×4 ini besar, berkuasa dan kuat, tidak bermaksud trak pikap ini boleh dipandu secara bahaya di jalan raya.
Keyword: Pemandu Kereta Berdepan Risiko Maut ‘412 Kali Ganda’ Jika Dilanggar Kenderaan 4x4