Pelumba muda negara, Hakim Danish telah menawan Litar Antarabangsa Mandalika! Negaraku berkumandang dua kali!
Beliau muncul juara pada perlumbaan Pertama dan Kedua Asia Talent Cup pada Grand Prix (GP) Indonesia sekaligus mengungguli carta keseluruhan buat masa ini.
Pelumba berusia 15 tahun itu mengungguli perlumbaan pertama di Litar Antarabangsa Mandalika yang melibatkan 16 pusingan sejauh 68.816 kilometer dengan catatan masa 28 minit 8.357 saat.
Hakim yang bermula di petak kedua telah memecut meninggalkan pelumba Jepun, Shinya Ezawa di tempat kedua dengan perbezaan masa sebanyak 15.677 saat setelah pelumba Jepun itu mencatatkan masa 28:24.034 saat diikuti wakil tuan rumah, Reykat Fadillah di tempat ketiga dengan catatan masa 28:24.226 saat.
Sementara itu, tiga lagi pelumba negara iaitu Farish Hafiy menamatkan perlumbaan pertama di kedudukan kesembilan, Emil Izdhar ke-10 manakala Farres Putra gagal menamatkan perlumbaan.
Keesokan harinya, Hakim Danish Ramli sekali lagi membuktikan kemampuan terbaiknya selepas muncul juara dalam Perlumbaan Kedua Asia Talent Cup pada Grand Prix (GP) Indonesia.
Pada perlumbaan kedua di Mandalika, Hakim mempamerkan skill tunggangan yang sempurna apabila terus memecut laju dari petak kedua sebelum memimpin perlumbaan di awal saingan.
Meskipun sedikit ketinggalan di pertengahan perlumbaan, namun Hakim berjaya menyerap tekanan sebelum berjaya mengatasi dua pelumba Jepun di hadapannya dan mengakhiri saingan dengan catatan 28 minit 06.916 saat.
Pelumba Jepun, Gun Mie yang tunduk kepada Hakim pada saingan tersebut terpaksa berpuas hati mengakhiri perlumbaan tempat kedua, manakala Shinya Ezawa menduduki tempat ketiga.
Menerusi dua kemenangan berturut-turut tersebut di Mandalika, Hakim kini menduduki carta teratas keseluruhan selepas mengumpul 72 mata dan meninggalkan Ezawa di kedudukan kedua dengan perbezaan satu mata.
Seorang lagi pelumba Jepun, Amon Odaki kini berada di kedudukan ketiga keseluruhan dengan mengumpul 54 mata.
Sementara itu, seorang lagi pelumba negara, Farish Hafiy Farid Sezli mengakhiri saingan di tempat ke-13 dan Emil Izdhar Ezuan tempat ke-15, manakala Farres Putra Fadhill gagal menamatkan saingan di Litar Antarabangsa Mandalika.
Kejayaan menaiki podium buat kali kedua berturut-turut yang dilakar Hakim ini membuatkan lagu Negaraku dimainkan sebanyak dua kali di bumi Indonesia.
Kejayaan diraih pelumba kelahiran Terengganu itu mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang menzahirkan ucapan tahniah atas pencapaian membanggakan itu di laman Twitter rasmiya.
Tahun lalu, Hakim menamatkan saingan pertamanya di kedudukan kelima keseluruhan dengan mengumpul 57 mata. Namun beliau tekad untuk menjadi juara keseluruhan bagi perlumbaan Asia Talent Cup (ATC) 2022.
“Matlamat saya adalah untuk menjadi juara tetapi sudah tentu saya perlu mengambil langkah demi langkah untuk mencapai impian saya di ATC 2022,” ujar beliau dalam sebuah video yang dikongsikan sebelum ini.
Keyword: Hakim Danish Tawan Mandalika – Negaraku Berkumandang 2 Kali