Hong Leong Yamaha Motor telah mengumumkan dua warna baharu untuk Yamaha NMAX ABS (2026). Model NMAX masih popular di kalangan pembeli motosikal Malaysia, oleh itu jualannya masih menggalakan walaupun diasak keras oleh model-model seangkatannya daripada China. Ini kerana NMAX telah bertapak dengan lama justeru pembeli yakin akan ketersediaan alat ganti serta aksesori lepas jualan di dalam pasaran, walaupun harganya yang agak tinggi. Kami telah berpeluang untuk menunggang uji setiap versi motosikal ini sejak ia dilancarkan dan berpendapat ia masih bertaring, apatah lagi dengan kombinasi enjin yang dikongsi dengan Yamaha NVX dan Y16ZR serta sistem brek yang disokong oleh ABS. Ciri-ciri utama Enjin tersebut ialah jenis silinder tunggal, 155 cc, SOHC, 4 injap, sejukan cecair dengan teknologi Blue Core yang menghasilkan kuasa 15.2 hp (11.3 kW) pada 8,000 rpm dan tork maksima 14.2 Nm pada 6,500 rpm. Namun pasaran Malaysia masih tidak mendapat versi “Turbo” dengan ciri Y-Shift. Transmisi yang digunakan ialah CVT (Transmisi Terus Berubah), dengan pacuan akhir menggunakan tali-sawat. Beralih kepada bahagian casis, suspensi hadapan terdiri sepasang fork teleskopik yang dikemaskini, manakala bahagian belakang disokong oleh sepasang penyerap hentakan. Tugas brek dikendalikan oleh cakera tunggal 230mm, di hadapan dan belakang. ABS dwi-saluran merupakan ciri standard. Ciri-ciri elektronik termasuk skrin LCD tunggal bersaiz besar dengan ciri Y-Connect; sistem penghidup tanpa kunci, fungsi henti enjin semasa berhenti (‘idle stop’), port pengecasan USB, serta pencahayaan LED. Tinggi tempat duduk disenaraikan sebagai 775mm. Ruang penyimpanan bawah tempat duduk yang lebih besar, kini pada 25 liter. Tangki bahan api mempunyai kapasiti 7.1 liter. Yamaha mendakwa bahawa motosikal ini mempunyai berat basah 131 kg. Apapun, warna-warna baharu untuk Yamaha NMAX ABS (2026) dikenali sebagai Icon Blue, dan Crystal Graphite. Harga jualan yang disyorkan dikekalkan pada RM11,948. Ia boleh didapati mulai 26 Januari 2926, bermula dengan pengedar Hong Leong Yamaha Motor yang rasmi. Galeri foto Pandu Uji dan Ulasan Yamaha NMAX (2025)