Bersedia untuk sesuatu yang comel? Maka hasrat anda telahpun tercapai, memandangkan CFMOTO PAPIO RACER kini tiba di Malaysia. CFMOTO Malaysia memperluaskan rangkaian motosikal ringannya dengan ketibaan CFMOTO PAPIO RACER, sebuah motosikal yang direka untuk menghadirkan prestasi ceria, ketangkasan kompak dan rekaan inspirasi lumba untuk penunggang bandar serta peminat yang mencari pengalaman menunggang unik. Dengan harga hanya pada RM8,888.00 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans), CFMOTO PAPIO RACER ditawarkan dalam tiga pilihan warna menarik: Clay Yellow, Nebula White dan Champion Blue. Model ini diposisikan sebagai motosikal fokus-keseronokan yang menggabungkan rekaan sporty dengan fungsi harian, menjadikannya sesuai untuk penunggang baharu mahupun penunggang berpengalaman yang inginkan tunggangan kompak dan menyeronokkan. Ciri-ciri utama: CFMOTO PAPIO RACER dikuasakan oleh enjin 126 cc satu-silinder, sejukan udara, dengan sistem penghantaran bahan api EFI. Ia menghasilkan kuasa maksimum 9.4 hp (7 kW) pada 8,250 rpm dan tork puncak 9.2 Nm pada 6,500 rpm. Dimensi enjin ialah 57 mm × 49.4 mm (bore x lejang), dengan nisbah mampatan 9.0:1. Nisbah mampatan 9.0:1 bermaksud enjin boleh menggunakan RON rendah tanpa masalah. Enjin dipadankan dengan klut plat basah berbilang dan transmisi manual 6-kelajuan, dan akhirnya pacuan rantai. Bahan api disimpan dalam tangki 7 liter, sesuai untuk penunggangan harian di bandar tanpa perlu kerap mengisi minyak. Dari segi casis, bahagian depan disokong oleh fork teleskopik terbalik, manakala bahagian belakang digantung oleh monoshock pusat boleh laras. Tugas pembrekan dikendalikan oleh cakera hadapan tunggal 210mm dengan kaliper dua piston dan cakera belakang tunggal 190mm dengan kaliper satu piston. Keselamatan dipertingkatkan lagi dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dwi-saluran. Saiz tayar ialah 120/70-12 hadapan, dan 130/70-12 belakang. Motosikal ini berukuran 1,750 mm panjang, 700 mm lebar dan 1,080 mm tinggi, dengan jarak roda 1,214 mm, ketinggian tempat duduk 760 mm, kelegaan tanah 150 mm. CFMOTO menyenaraikan berat kerb 114 kg. CFMOTO PAPIO RACER dilengkapi dengan paparan meter hibrid yang menggabungkan elemen analog dan digital, slot port pengecasan USB terpelihara dan sistem kemasukan kunci mekanikal. Ciri keselamatan dan kemudahan tambahan termasuk suis keselamatan sisi, butang bahaya dan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS). Pencahayaan adalah LED sepenuhnya, merangkumi lampu hadapan dengan DRL, lampu belakang, lampu isyarat. Penampilan sporty dipertingkatkan lagi dengan kemasukan cermin angin dan winglet. Dengan setiap pembelian model CFMOTO PAPIO RACER, pembeli boleh menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km perbatuan (mana-mana yang tiba dahulu) dan perkhidmatan pembelian alat ganti tulen secara dalam talian oleh CFMOTO Malaysia. Galeri foto