Triumph Trident 660 merupakan model paling laris bagi pengeluar yang berpengkalan di Hinckley ini. Ia praktikal, digandingkan dengan enjin tiga silinder yang lincah, serta ciri kendalian hebat yang sinonim dengan Triumph, ditambah dengan harga yang sangat berpatutan. Namun, sudah sampai masanya untuk peningkatan agar tidak ketinggalan di belakang pesaingnya. Justeru, Triumph meningkatkan enjin model 2026 untuk menghasilkan 94 hp, meningkat daripada 80 hp. Terdapat juga monoshok belakang Showa yang baharu. Dan sudah tentu, diselaputi warna dan grafik baharu. Dari Siaran Akhbar Didi Group DIDI GROUP membawa Trident 660 yang popular ini ke tahap lebih tinggi dengan kemas kini paling signifikan setakat ini. Kemas kini ini menyampaikan prestasi lebih baik, menjadikan Trident 660 pilihan yang lebih sporty. Di tengah-tengah peningkatan ini ialah penambahbaikan enjin yang utama. Trident 660 kini dilengkapi enjin triple 660cc berprestasi lebih tinggi, menghasilkan 95PS dan tork 68Nm yang mengagumkan. Peningkatan kuasa ini meletakkan Trident 660 di puncak kelas roadster pertengahan. Kemas kini tidak setakat pada enjin sahaja. Trident 660 memperoleh penampilan lebih agresif dengan bentuk badan baharu dan tangki bahan api yang lebih tirus, mengukuhkan lagi sikap roadster yang atletik. Model ini mengekalkan kendalian tangkas dan penuh keyakinan, kini dilengkapi dengan penambahbaikan casis dan kualiti tunggangan yang lebih baik. Trident 660 mendapat manfaat daripada unit suspensi belakang Showa baharu untuk kebolehsesuaian yang lebih baik. Kemas kini terkini pada Trident 660 ini dilengkapi dengan skema warna dan grafik baharu yang berani, menyerlahkan gaya tersendirinya. Untuk Trident 660, warna Cosmic Yellow dan Stone Grey yang ceria menjadi pilihan cat premium, manakala Snowdonia White ditawarkan sebagai warna standard. Harganya bermula daripada RM47,900 (tidak termasuk pendaftaran dan insurans). Tempahan untuk Triumph Trident 660 (2026) kini dibuka. Trident 660 baharu akan tersedia di pengedar Triumph sah di seluruh Malaysia. Untuk spesifikasi teknikal terperinci, layari visit www.triumph-motorcycles.my. Galeri foto