Motosikal MORBIDELLI F252 jenis sport-naked yang dipratontonkan kepada kami kita lawatan ke Zhejiang, China bersempena dengan acara Top 68 Mforce Dealers pada November lalu, telah tiba di Malaysia dan dijual. Harganya bermula dari RM14,888, tidak termasuk cukai jalan dan insurans. Terdapat dua pilihan warna iaitu Bulk Black (hitam) dan Tundra White (putih). Model ini kelihatan amat menarik kerana ia menggunakan enjin dua piston serta ciri-ciri teknologi terkini yang hanya terdapat pada motosikal-motosikal yang berkapasiti lebih besar dengan harga lebih tinggi. Apapun, Morbidelli berada di bawah MBP Group yang merupakan anak syarikat Keeway Group. Keeway pula berada di bawah MBP Group yang turut memegang hak Benelli. MBP Group pula merupakan anak syarikat kepada Zhejiang Qianjiang Group. QJMotor pula merupakan jenama mewah di bawah Zhejiang Qianjiang Group. Akhirnya sekali, segala syarikat ini merupakan anak syarikat kepada Geely Group. Ciri-ciri utama MORBIDELLI F252 Enjin 2 silinder, 4 lejang, 8 injap, DOHC, sejukan cecair dengan kapasiti 249.5 cc, yang menghasilkan kuasa maksimum 33.5 hp (25.0 kW) pada 12,000 rpm serta tork maksimum 20.0 N.m pada 10,000 rpm. Ukuran gerek dan lejang ialah 61.5 x 42 mm serta nisbah mampatan 11.2:1, disokong oleh sistem suntikan bahan api elektronik (EFI). Sistem pelinciran menggunakan jenis tekanan dan percikan. Transmisi 6 kelajuan dengan pacuan rantai, dibantu klac ‘slipper‘. Sistem pendikit adalah jenis mekanikal yang memberikan kawalan terus kepada penunggang. Fork jenis teleskopik terbalik serta penyerap hentak belakang monoshock jenis Pro-Link dengan pelarasan pra-beban. Sistem brek menggunakan cakera tunggal terapung 300 mm di depan dan cakera tunggal 240 mm di belakang, disokong oleh sistem brek anti-kunci (ABS) dwi saluran. Model ini menggunakan rim 17 inci dengan tayar depan 110/70R17 Supermaxx dan tayar belakang 150/60R17 Supermaxx. Dari segi dimensi, motosikal ini berukuran 1,980 x 760 x 1,100 mm (panjang x lebar x tinggi), dengan ketinggian tempat duduk 790 mm, jarak roda 1,375 mm, kelegaan tanah 160 mm, berat kering 170 kg. Kapasiti tangki bahan api ialah 15 liter. Morbidelli F252 dilengkapi meter paparan TFT 5 inci, merangkumi aplikasi Morbidelli serta sambungan Bluetooth yang menawarkan notifikasi panggilan, paparan skrin (screen mirroring) dan navigasi. Penunggang turut boleh memilih mod tunggangan antara Standard, Sport dan Expert melalui skrin ini. Sistem bantuan tunggangan termasuk Sistem Kawalan Traksi (TCS). Lampu utama, lampu belakang, lampu isyarat serta lampu kecemasan adalah jenis LED. Kemudahan penunggang turut merangkumi port pengecas USB jenis A dan jenis C, sistem kunci mekanikal serta suis keselamatan tongkat sisi. Dengan setiap pembelian Morbidelli F252, para pembeli boleh menikmati jaminan waranti perbatuan tanpa had untuk tempoh dua tahun serta perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. Galeri foto