Sebuah lagi model Morbidelli yang dipratontonkan November lepas, MORBIDELLI T252X, telah tiba di Malaysia. Harga jualannya ialah RM16,888.00 tidak termasuk cukai jalan dan insurans. Model ini merupakan jenis adventure lightweight yang sesuai bagi anda yang suka mengembara ke kawasan-kawasan terpencil atau untuk anda yang baru mahu menjinakkan diri dengan motosikal adventure/dual-purpose. Enjin 249.5cc, dua pistonnya serta beberapa komponen dikongsi dengan model Morbidelli F252 yang naked, jadi mungkin tiada masalah kekurangan alat ganti. Ciri-ciri utama MORBIDELLI T252X Enjin 2 silinder, 4 lejang, 8 injap, DOHC, sejukan cecair dengan kapasiti 249.5 cc, yang menghasilkan kuasa maksimum 33.5 hp (25.0 kW) pada 12,000 rpm serta tork maksimum 20.0 N.m pada 10,000 rpm. Ukuran gerek dan lejang ialah 61.5 x 42 mm serta nisbah mampatan 11.2:1, disokong oleh sistem suntikan bahan api elektronik (EFI). Sistem pelinciran menggunakan jenis tekanan dan percikan. Transmisi 6 kelajuan dengan pacuan rantai, dibantu klac ‘slipper‘. Sistem pendikit adalah jenis mekanikal yang memberikan kawalan terus kepada penunggang. Fork jenis teleskopik terbalik serta penyerap hentak belakang monoshock jenis Pro-Link dengan pelarasan pra-beban. Sistem brek menggunakan cakera tunggal terapung 300 mm di depan dan cakera tunggal 240 mm di belakang, disokong oleh sistem brek anti-kunci (ABS) dwi saluran. Model ini menggunakan rim 19 inci di depan dengan tayar Pirelli 110/80R19 dan rim belakang 17 inci dengan tayar Pirelli 150/60R17. Dari segi dimensi, motosikal ini berukuran 2,120 x 840 x 1,210 mm (panjang x lebar x tinggi), dengan ketinggian tempat duduk 820 mm, jarak roda 1,405 mm, kelegaan tanah 160 mm, berat kering 180 kg. Kapasiti tangki bahan api ialah 18 liter. Morbidelli F252 dilengkapi meter paparan TFT 7 inci yang dipasang menegak, sesuai untuk motosikal adventure. Ia merangkumi aplikasi Morbidelli serta sambungan Bluetooth yang menawarkan notifikasi panggilan, paparan skrin (screen mirroring) dan navigasi melalui aplikasi T-BOX. Ciri keselamatan dan bantuan penunggang merangkumi Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran dan Sistem Kawalan Traksi (TCS). Motosikal ini turut menawarkan tiga mod tunggangan: • Standard (TCS ON, ABS ON). • Sport (TCS OFF, ABS ON). • Off-Road (TCS ON, ABS belakang sahaja). Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS) juga merupakan ciri standard. Selain daripada itu motosikal ini turut dilengkapi cermin angin boleh laras, set kotak simpanan (dua kotak sisi dan satu kotak atas), serta crash bar dan handguard untuk perlindungan tambahan. Dengan setiap pembelian Morbidelli T252X, para pembeli boleh menikmati jaminan waranti perbatuan tanpa had untuk tempoh dua tahun serta perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh Mforce Bike Holdings. Galeri photo