Motosikal KEEWAY RKR250 telah tiba di Malaysia. Ia telah dilancarkan ketika program Top 68 Dealers’ Educational Tour Sales Campaign yang berlangsung di Zhejiang, China pada November lepas. Dengan harga jualan hanya RM13,888 (tanpa cukai jalan dan insurans), ia menawarkan pilihan yang menarik bagi anda yang ingin menaiktaraf ke motosikal kapasiti lebih besar atau hendak menimba pengalaman memilikki motosikal besar yang pertama. Selain daripada itu, ia juga amat praktikal sebagai sebuah motosikal untuk kegunaan harian, serta berjalan jauh. Itulah kepelbagaian guna bagi sebuah motosikal 250cc. Ciri-ciri utama Terdapat di dalam dua warna iaitu Flame Red (merah) dan Night Black (hitam). Enjin 249.3 cc, dua silinder, empat lejang, 8-injap, DOHC yang menghasilkan 31.5 hp (23.5 kW) pada 10,500 rpm dan 22.5 N.m tork pada 9,500 rpm. Gerek dan lejang 60 × 44.1 mm, dengan nisbah mampatan 11.3:1. Enjin disejukan cecair, manakala penghantaran bahanapi ialah melalui suntikan elektronik (EFI). Tangki minyak berkapasiti 12 liter. Kuasa enjin dihantar melalui klac jenis ‘slipper’, sebelum ke transmisi 6 kelajuan, dan seterusnya ke rantai pacuan. Fork depan berdiameter 40 mm depan jenis terbalik dengan jarak pergerakan 100mm. Penyerap hentak belakang jenis monoshock boleh laras dengan 42.5 mm jarak pergerakan. Sistem brek depan terdiri daripada cakera tunggal hadapan Ø320 mm jenis terapung dengan angkup (kaliper) 4-piston. Brek belakang menggunakan cakera tunggal Ø240 mm dengan angkup 1-piston. Sistem brek disokong oleh Anti-lock Braking System (ABS) dwi-saluran yang boleh nyahaktif. Saiz-saiz tayar depan dan belakang masing-masing ialah 110/70 R17 dan 150/60 R17. Dimensi-dimensi KEEWAY RKR250 ini ialah 1,980 mm panjang, 780 mm lebar dan 1,110 mm tinggi, dengan jarak roda 1,380 mm, ketinggian tempat duduk 770 mm, serta kelegaan tanah 148 mm. Berat keseluruhan adalah 130 kg. Paparan TFT 5 inci, port pengecasan USB Type-A dan Type-C, serta sistem kunci mekanikal. Ciri-ciri lain termasuk suis keselamatan tongkat sisi, manakala sistem pencahayaan lampu LED sepenuhnya merangkumi lampu isyarat, lampu kecemasan, lampu hadapan dan lampu belakang. Teknologi tambahan termasuk Traction Control System (TCS) boleh nyahaktif serta Tyre Pressure Monitoring System (TPMS). Daripada segi sambungan, motosikal ini menyokong penyambungan Bluetooth dengan fungsi notifikasi panggilan, paparan skrin dan navigasi, serta integrasi aplikasi pihak ketiga melalui Carbit Ride. Dengan setiap pembelian mana-mana model KEEWAY RKR250, para pembeli boleh menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000km (yang mana tiba dahulu) dan perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd.