Chear Motorrad Lancar Bilik Pameran Baharu di Shah Alam

Chear Motorrad, salah satu rakan pengedar berpengalaman BMW Motorrad di Malaysia, hari ini secara rasminya mengumumkan pemindahan pusat pengedarannya ke Shah Alam, sekali gus menandakan pelancaran sulung Pengalaman Penjualan Baharu BMW Motorrad yang pertama di negara ini. Pencapaian signifikan ini membuka lembaran baharu dalam perjalanan Chear Motorrad untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada komuniti BMW Motorrad yang semakin berkembang, melalui keterlibatan pelanggan yang lebih mendalam serta peluasan titik interaksi dalam aspek jualan, servis, dan sokongan.

Benjamin Nagel, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkata, “Janji kami di BMW Motorrad adalah jelas, iaitu memastikan setiap peringkat perjalanan penunggang motosikal menjadi mudah, mengujakan dan premium. Ia bukan sahaja merangkumi rangkaian motosikal berkuasa yang pelbagai, tetapi juga setiap titik interaksi pelanggan dengan jenama kami, demi memberikan Pengalaman Pemilikan Premium di setiap langkah. Bilik pameran baharu Chear Motorrad di Shah Alam merupakan manifestasi ini, menerusi tawaran pengalaman penjualan yang melangkaui aspek jualan dan perkhidmatan, sekali gus mewujudkan ruang yang lebih dinamik untuk komuniti penunggang. Sejak tahun 2011, Chear Motorrad telah memainkan peranan penting dalam rangkaian pengedar kami, dan kami amat teruja menyaksikan pertumbuhan mereka dalam membawa pengalaman BMW Motorrad lebih dekat kepada para pelanggan di Lembah Klang dan sekitarnya.”

Dato’ Chear Kin Keong, Pengarah Urusan Chear Motor Group, berkata, “Sepanjang lebih sedekad, perjalanan kami telah didorong oleh kepercayaan serta semangat para pelanggan, dan kami berbangga dapat memberikan perkhidmatan kepada mereka. Pelancaran bilik pameran baharu di Shah Alam ini merupakan satu pencapaian yang bermakna, khususnya kerana ia memperkenalkan Pengalaman Penjualan Baharu BMW Motorrad yang pertama di Malaysia. Langkah ini mencerminkan dedikasi kami untuk memberikan pengalaman yang terbaik kepada komuniti motosikal di Malaysia, Malaysia terutamanya para pemilik BMW Motorrad. Seiring dengan pertumbuhan pesat komuniti BMW Motorrad, kami juga terus berkembang – dengan pasukan yang lebih kukuh dan berdedikasi serta fokus baharu terhadap penjagaan pelanggan. Kami teruja untuk mencipta pengalaman yang lebih bermakna buat para penunggang BMW Motorrad, sambil membawa semangat ‘Make Life a Ride’ ke masa hadapan.”

Terletak di No. 33 & 35, Jalan 15/23, Taman Perindustrian Tiong Nam, Chear Motorrad seluas 540 meter persegi yang berpindah dari Puchong ini, direka sebagai sebuah hab bagi para penunggang untuk meneroka portfolio luas BMW Motorrad, mendapatkan khidmat penyelenggaraan motosikal, serta berhubung dengan komuniti penunggang yang semakin berkembang. Pusat ini merupakan pengedar pertama di Malaysia yang melaksanakan sepenuhnya Pengalaman Penjualan Baharu BMW Motorrad, dengan menawarkan ruang kontemporari yang mencerminkan semangat jenama terhadap prestasi, gaya hidup dan perkhidmatan peribadi. Ruang pengedar ini turut menampilkan kaunter servis khusus yang baharu serta bar kopi, mewujudkan suasana mesra untuk pelanggan berehat dan berinteraksi, sekali gus memperkayakan keseluruhan Pengalaman Pemilikan Premium.

Selain itu, bengkel dengan susun atur moden yang menempatkan 10 ruang kerja direka untuk
menyokong penyelenggaraan yang lebih efisien, memastikan pemilik BMW Motorrad menerima tahap penjagaan tertinggi untuk motosikal mereka dengan ketenangan fikiran sepenuhnya. Dengan kekuatan pasukan seramai 40 orang merangkumi jualan, servis, pemasaran dan sokongan, Chear Motorrad Shah Alam menawarkan pengalaman lengkap Jualan, Servis dan Alat Ganti (Sales, Service & Spare Parts – 3S) di bawah satu bumbung, memenuhi keperluan pemilik BMW Motorrad baharu mahupun sedia ada.

Chear Motorrad beroperasi setiap hari dari Isnin hingga Sabtu, jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang. Untuk maklumat lanjut mengenai pengedar ini, sila layari: https://www.bmw-motorrad.com.my/chearmotorrad-puchong/en/home.html.

Source: Chear Motorrad Lancar Bilik Pameran Baharu di Shah Alam

Postingan Terkait

Categories

Tags

© TopCarNews Network. All Rights Reserved. Designed by TopCarNews