Seperti yang kami laporkan semalam, Bimota sinonim dengan motosikal sport berkapasiti besar, namun sejak itu mereka telah melancarkan motosikal sport berkapasiti kecil KB399. Tapi bukan itu sahaja, syarikat yang kini berada di bawah payung Kawasaki itu turut melancarkan motosikal enduro Bimota BX450. Ia menandakan kemasukan pertama jenama butik ini ke pasaran off-road. Sama seperti KB399, BX450 adalah berasaskan model Kawasaki – iaitu KX450X. Justeru, enjin satu silinder dan rangka adalah sama pada kedua-dua BX dan KX, tetapi setakat itu sahaja persamaannya. BX450 menggunakan ECU Athena GET dengan talaan suntikan bahan api yang direka khas untuk Bimota. ECU ini membolehkan dua mod kuasa, selain 10 tahap tetapan kawalan cengkaman. Ia juga dilengkapi kawalan pelancaran, yang boleh dipilih melalui butang pada hendal. Gas ekzos disalurkan melalui peredam ekzos titanium Akrapovic. Terdapat juga tangki bahan api tambahan yang lebih kecil. Akhir sekali, motosikal ini dilengkapi tayar Metzeler MCE 6 Days Extreme Supersoft. Syarikat itu turut menawarkan aksesori tambahan yang membolehkannya bersaing dalam siri Italian Motorally dan Raid TT dalam kejuaraan nasional. “Bagi kami, perlumbaan bukan sekadar satu kategori, tetapi ia adalah intipati kami,” kata Pierluigi Marconi, Ketua Pegawai Operasi Bimota. “Apabila kami melihat motosikal enduro kami, kami tidak melihat sesuatu yang benar-benar baharu, kami melihat satu cabaran baharu. Menceburi dunia enduro bukanlah satu strategi untuk kami, ia hanyalah mengikut DNA kami.” Bimota BX450 akan mula tersedia di UK dari awal Mei dengan harga bermula dari £10,599 (RM56,054.22).