Ini sesuatu yang kami tidak jangkakan, kerana jenama motosikal butik Bimota selama ini terkenal dengan motosikal berkapasiti besar, bermula dari 800cc ke atas. Namun kini di bawah naungan Kawasaki, mereka baru sahaja memperkenalkan Bimota KB399 dan Bimota KB399 ES. Berasaskan Kawasaki Ninja ZX-4RR, KB399 menggunakan enjin empat silinder sebaris 399cc yang telah ditingkatkan kuasanya kepada 79 hp daripada 76 hp. Enjin ini kemudiannya dipadankan dengan material eksotik dan komponen berprestij yang melambangkan Bimota. Bermula dengan badan, ia dilengkapi dengan ‘winglet,’ dan kombinasi warna merah, putih, dan hitam yang menjadi ciri khasnya. Selain itu, pengapit atas dan bawah serta penutup batang stereng dimesin daripada bongkah bilet. Varian ES pula tidak merujuk kepada “Electronic Suspension” (Suspensi Elektronik) sebaliknya “Edizione Speciale” (Edisi Khas). Fairingnya diperbuat daripada gentian karbon, dilengkapi dengan hendal clip-on, pedal brek dan gear bilet, serta pemijak kaki bilet boleh laras dengan pelbagai penyesuaian. Kedua-dua versi ini dilengkapi dengan fork Showa SFF-BP 41mm dan monoshock Showa BFRC-lite, manakala versi ES menggunakan monoshok Öhlins STX46 di bahagian belakang. Sistem brek menggunakan kaliper Brembo Stylema berkembar, manakala peredam ekzos Akrapovič khas menghasilkan apa yang pasti menjadi daya tarikan utama motosikal ini – iaitu bunyi enjin empat silinder sebaris. Bagi ciri-ciri elektronik, ia dilengkapi dengan kawalan cengkaman tiga mod, mod kuasa boleh pilih, mod tunggangan bersepadu dan quickshifter sebagai standard – dengan kesemua sistem ini diambil terus daripada model Kawasaki tersebut. Dari sudut reka bentuk, Bimota menggunakan pereka yang sama untuk model KB998 Rimini, justeru terdapat persamaan antara model kecil dan besar itu. Pierluigi Marconi, Ketua Pegawai Operasi Bimota, berkata: “Setiap Bimota dihasilkan dengan penuh semangat dan Bimota baharu yang sangat menarik ini menzahirkan intipati sebenar jenama kami. Matlamat kami dengan KB399 adalah untuk menawarkan pengalaman menunggang yang eksklusif, dengan ciri khas Bimota kepada peminat sedia ada serta khalayak baharu yang semakin berminat dengan motosikal berfokuskan ketukangan kami.” Dari segi harga, KB399 dijual pada harga £10,999 (RM57502.33) manakala model ES berharga £14,699 (RM76845.78). Adakah Bimota akan membawa KB399 berlumba dalam Kejuaraan Motosikal Dunia yang akan datang seperti yang mereka lakukan dalam WorldSBK dengan KB998?