Berterusan dengan pelancaran Moto Morini, model seterusnya ialah Moto Morini X-Cape 700, sebelum kita beralih ke X-Cape 1200. Klik: Moto Morini Alltrhike 450 Dilancarkan X-Cape 700 menerima beberapa peningkatan berbanding X-Cape 650 sebelumnya. Boleh dikatakan bahawa model 650 merupakan model pencetus kebangkitan semula Moto Morini di beberapa pasaran, jadi peningkatan ini penting untuk jenama ini dari pelbagai aspek. Motosikal ini dipasarkan sebagai penjelajah adventure untuk kedua-dua jalan raya dan luar jalan. Ciri-ciri utama: Digerakkan oleh enjin dua piston selari, 693cc, DOHC, 8-injap, penyejuk cecair yang menghasilkan 73.7 hp @ 8,500 RPM dan 68 Nm @ 6,500 RPM. Enjin ini mencapai keseimbangan baik antara tork yang kuat dan kuasa kuda puncak. Sistem suspensi depan terdiri daripada fork Marzocchi ø50mm jenis terbalik yang boleh dilaras untuk pra-beban spring, serta redaman lantunan dan mampatan. Di belakang, terdapat monoshock Kayaba yang boleh dilaras untuk pra-beban spring, dan redaman lantunan. Brek adalah cakera berganda 298 mm dicengkam oleh kaliper Brembo 2 omboh di depan, dan cakera 255mm dicengkam oleh kaliper 2 omboh di belakang. Saiz tayar adalah 110/80-19 (depan) dan 150/70-17 (belakang) dalam pilihan aloi atau berlidi, dan dipasang dengan Pirelli Scorpion Rally STR untuk rim berlidi. Tangki bahan api mempunyai kapasiti 18 liter. Moto Morini mendakwa berat kering adalah 213 kg. Paparan TFT 7-inci dengan sambungan Bluetooth dan navigasi. Skrin angin boleh dilaras secara manual untuk dua posisi. Moto Morini X-Cape 700 dilancarkan dengan harga jualan RM33,888. Harga ini termasuk tiga kotak penyimpanan aluminium bermerek Moto Morini.