Bersediakah anda untuk sebuah lagi motosikal Malaysia? Namun, kali ini ia bukanlah skuter atau motosikal biasa: sebaliknya ia adalah “hibrid” yang menggabungkan kedua-duanya untuk menjadi apa yang dinamakan oleh Mforce Bike Holdings sebagai “Skuchai” (gabungan skuter + kapchai). Ia bukan sekadar cakap-cakap kosong untuk meraih perhatian, kerana syarikat tersebut telah melabur RM10 juta untuk menghasilkan motosikal ini. Daripada Siaran Media Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. mengumumkan pembangunan sebuah model motosikal baharu 200 cc bertransmisi CVT yang menampilkan konsep inovatif dikenali sebagai “Skuchai”, iaitu gabungan reka bentuk skuter dan platform enjin berasaskan kapchai (moped) dengan penggunaan teknologi CVT yang lazim digunakan pada skuter moden. Konsep ini disifatkan sebagai yang pertama di dunia kerana menggabungkan tiga elemen berbeza iaitu reka bentuk skuter, enjin moped dan sistem CVT automatik dalam satu platform serba baharu, sekali gus mewujudkan satu segmen baharu dalam industri dua roda. Bagi merealisasikan pembangunan model ini, Mforce telah melaburkan sebanyak RM10 juta yang merangkumi proses penyelidikan dan pembangunan (R&D), kejuruteraan reka bentuk, ujian ketahanan, pembangunan prototaip serta penyesuaian teknikal untuk memenuhi keperluan pasaran Malaysia dan antarabangsa. Pelaburan ini mencerminkan komitmen syarikat dalam memperkenalkan inovasi yang berbeza daripada kebiasaan pasaran sedia ada. Model “Skuchai” ini menggabungkan ergonomik dan keselesaan ala skuter dengan ketahanan serta struktur ringan seperti moped. Pada masa sama, penggunaan sistem CVT membolehkan tunggangan automatik sepenuhnya tanpa penukaran gear manual, menjadikannya lebih praktikal untuk kegunaan harian di bandar, namun masih sesuai untuk perjalanan jarak sederhana dan tunggangan santai berkonsepkan pengembaraan ringan. Pendekatan ini bukan sahaja memberi pengalaman tunggangan yang lancar dan responsif, malah menawarkan identiti baharu dalam dunia motosikal kompak. Pembangunan model ini merupakan hasil kerjasama strategik bersama syarikat rakan teknologi Mforce di China dan projek ini menjadi tugasan pertama syarikat sejak penubuhannya pada awal tahun 2025. Penglibatan ini menandakan langkah awal dalam memperkukuh rangkaian pembangunan global kumpulan Mforce, khususnya dalam aspek kejuruteraan platform dan integrasi teknologi. Dalam masa yang sama, jurutera tempatan Malaysia memainkan peranan penting dalam melahirkan idea konsep awal, menghasilkan lakaran reka bentuk serta membangunkan model tanah liat (clay model) sebelum memasuki fasa pengeluaran. Gabungan kepakaran antarabangsa dan kreativiti tempatan ini memastikan model yang dihasilkan bukan sahaja berdaya saing dari sudut teknologi, malah menepati citarasa pengguna tempatan dan serantau. Menurut Asri Ahmad, Ketua Pegawai Operasi Mforce, visi syarikat adalah untuk mencabar norma industri dengan memperkenalkan sesuatu yang benar-benar baharu di peringkat global. Beliau menjelaskan bahawa dengan menggabungkan reka bentuk skuter, enjin berasaskan moped dan sistem CVT dalam satu platform, pihaknya berjaya menghasilkan satu konsep unik yang belum pernah diketengahkan sebelum ini. Katanya lagi, model ini bukan sekadar produk baharu, tetapi penciptaan kategori baharu dalam industri motosikal. Asri Ahmad turut memaklumkan bahawa prototaip model tersebut telah siap sepenuhnya dan kini berada dalam fasa penghasilan unit pra-pengeluaran untuk menjalani ujian ketahanan serta penilaian prestasi menyeluruh. Ujian tersebut merangkumi simulasi penggunaan harian dan ujian jarak jauh bagi memastikan tahap kualiti, keselamatan dan ketahanan berada pada standard terbaik sebelum diperkenalkan ke pasaran. Beliau seterusnya mengesahkan bahawa model “Skuchai” ini akan dipamerkan kepada umum buat pertama kali di Malaysia Bike Show 2026 yang dijadual berlangsung pada bulan Mei akan datang. Pameran tersebut bakal menjadi platform rasmi untuk memperkenalkan konsep pertama di dunia ini kepada peminat motosikal, pemain industri serta media tempatan dan antarabangsa. Pelancaran rasmi model ini dijangka akan dilaksanakan pada suku tahun pertama 2027, tertakluk kepada kelancaran fasa ujian ketahanan dan persediaan pengeluaran akhir. Maklumat lanjut mengenai spesifikasi penuh serta harga rasmi akan diumumkan menjelang tarikh pelancaran tersebut.