Peminat Moto3 Malaysia yang menyokong usaha pelumba negara kita, Hakim Danish Ramli, dalam pusingan di Thailand hujung minggu lalu pasti akan menyedari sesuatu yang biasa dilihat: logo dan grafik AEON CREDIT terpampang pada jentera Hakim ketika dia melintasi garisan penamat dalam perlumbaan sulungnya tanpa sebarang insiden. Ini sudah pun satu pencapaian besar memandangkan saingan yang amat sengit dalam kelas tersebut. Namun, ramai juga yang sedia maklum, tiada pelumba yang mampu melangkah ke pentas antarabangsa tanpa sokongan penaja yang utuh. Penaja yang komited. Dan AEON Credit Service (M) Berhad adalah entiti yang membantu mengemudi haluan Hakim Danish ke kategori Moto3. Daripada Siaran Media AEON Credit AEON Credit Service (M) Berhad telah memperkukuh lagi komitmennya dalam membangunkan bakat muda berprestasi tinggi dengan tampil sebagai penaja utama Pasukan MSi Racing bagi kelas Moto3 Kejuaraan Dunia FIM MotoGP 2026. Pelaburan kontrak strategik selama setahun ini menandakan langkah progresif AEON Credit dalam menyokong ekosistem sukan permotoran negara, terutamanya sebagai pemangkin utama dalam memacu potensi pelumba negara yang semakin memberangsangkan, Hakim Danish Ramli, yang bakal meneruskan perjalanannya di pentas dunia. Inisiatif berimpak tinggi ini mencerminkan sokongan berterusan AEON Credit terhadap pelumba berusia 19 tahun itu, berikutan peranan Kumpulan (AEON Credit) dalam memudahkan penampilan wildcard beliau di Moto3 pada Grand Prix Malaysia tahun lalu. Keputusan untuk memformalkan kerjasama strategik ini dibuat susulan prestasi cemerlang dan konsisten Hakim Danish sepanjang musim 2025, terutamanya dalam dua kejuaraan utama Eropah – FIM JuniorGP (JrGP) dan Red Bull MotoGP Rookies Cup. Hasil daripada pencapaian ini, pelumba yang lahir daripada program pembangunan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) itu, bukan sahaja meraih kedudukan podium di JrGP, malah mengukir sejarah dengan menduduki tempat ketiga keseluruhan dalam kedudukan Red Bull MotoGP Rookies Cup, seterusnya memantapkan reputasinya sebagai salah satu bakat paling memberangsangkan di Asia di pentas dunia. Melalui kerjasama ini, pasukan akan beroperasi di bawah penjenamaan baharu AEON CREDIT-MT-MSi, menyediakan platform sokongan komprehensif yang direka untuk memastikan kesinambungan prestasi dan memupuk perkembangan kerjaya Hakim Danish yang berterusan di peringkat tertinggi. Inisiatif ini juga menyokong objektif penjenamaan dan pemasaran AEON Credit yang lebih luas dengan meningkatkan keterlihatan jenama merentas platform sukan permotoran antarabangsa, mengukuhkan penglibatan dengan pelanggan dan komuniti, serta meletakkan Kumpulan sebagai penyokong jangka panjang pembangunan bakat belia. Encik Daisuke Maeda, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif AEON Credit, menegaskan bahawa inisiatif ini mencerminkan visi jangka panjang Kumpulan untuk mengukuhkan kehadiran jenamanya sambil turut menyumbang kepada pembangunan sukan berprestasi tinggi di Malaysia. “Kerjasama ini mewakili pelaburan strategik yang berlandaskan kepercayaan kami terhadap nilai-nilai disiplin, ketabahan dan peluang yang ditawarkan oleh sukan permotoran sebagai platform untuk membentuk generasi akan datang. “Sukan permotoran selari dengan nilai teras AEON Credit, yang menekankan daya tahan, semangat juang dan kecemerlangan. Kami komited untuk membina ekosistem mampan yang memupuk juara masa depan dan ikon sukan negara. “Keazaman dan kematangan prestasi yang ditunjukkan oleh Hakim Danish sepanjang musim 2025, terutamanya penampilan wildcardnya di GP Sepang, telah mengukuhkan keyakinan kami. Walaupun bersaing sebagai penyertaan wildcard, dia membuktikan kemampuan sebenar dirinya. Melalui perkongsian AEON CREDIT-MT_MSi, kami berhasrat untuk meningkatkan kesedaran jenama dalam kalangan komuniti sukan permotoran sambil menyediakan persekitaran yang stabil membolehkan bakat muda sepertinya terus berkembang dan mencapai tahap lebih tinggi,” katanya. Sementara itu, Hakim Danish menggambarkan sokongan AEON Credit sebagai sumber motivasi utama ketika bersiap sedia menghadapi cabaran baharu di Moto3. “Sokongan AEON Credit merupakan dorongan yang luar biasa buat saya. Fokus saya kini sepenuhnya untuk membalas kepercayaan yang diberikan dengan mempersembahkan prestasi terbaik saya di pentas dunia. “Berita ini pastinya meningkatkan motivasi saya, terutamanya menjelang GP Thailand yang dijadualkan berlangsung dari 28 Februari hingga 1 Mac. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada AEON Credit, Litar Antarabangsa Sepang dan ZK Racing atas usaha keras mereka untuk merealisasikan kerjasama berprestij ini,” katanya. Untuk rekod, AEON Credit dan ZK Racing sebelum ini telah memformalkan perkongsian strategik untuk membangunkan sukan permotoran Malaysia melalui Pelan Induk Pembangunan Sukan Permotoran Malaysia (MDEV), iaitu pelan pembangunan bakat dua roda yang dirangka bersama oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan SIC. Dalam perkembangan berkaitan, Pengurus Pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin, menggambarkan kehadiran AEON Credit sebagai penaja adalah tepat pada masanya dan memberikan impak. “Komitmen dan pelaburan daripada AEON Credit memberi impak yang besar kepada kesinambungan program pembangunan yang kami susun. Tanpa sokongan padu daripada rakan korporat strategik seperti AEON Credit, sukar untuk meletakkan bakat muda Malaysia di pentas dunia,” katanya.