WMOTO memperkenalkan WMOTO NX150S, sebuah skuter yang sarat dengan pelbagai ciri moden, direka bagi menawarkan kepraktisan, teknologi terkini serta kemudahan tunggangan harian pada harga yang sangat kompetitif. Model ini diperkenalkan bersempena Majlis Berbuka Puasa Bersama Media 2026 yang berlangsung di Pusat Servis dan Pejabat Urusan Mforce cawangan Kuala Lumpur di Segambut. Ditawarkan pada harga RM6,688.00, tidak termasuk cukai jalan dan insurans, WMOTO NX150S hadir dalam tiga pilihan warna iaitu Grind Green, Glacier Grey dan Lava Brown. Skuter ini dikuasakan oleh enjin satu silinder, 4-lejang berkapasiti 149.6 cc yang menghasilkan kuasa maksimum 15.6 hp (11.6 kW) pada 8,500 rpm serta tork maksimum 14.7 N.m pada 6,500 rpm, dengan nisbah mampatan 11.5:1. Enjin ini menampilkan ukuran piston x lejang 57.3 × 58 mm dan dipadankan dengan transmisi CVT bersama pacuan akhir jenis tali sawat bagi memberikan pecutan yang lancar serta mudah dikendalikan untuk kegunaan harian. Sistem enjin menggunakan penyejukan cecair, sistem pencucuhan ECU serta sistem penghidup elektrik, manakala operasi pendikit adalah jenis mekanikal. Skuter ini turut dilengkapi tangki bahan api berkapasiti 15 liter untuk jarak tunggangan lebih jauh, manakala sistem pelinciran menggunakan gabungan tekanan dan percikan minyak. Dari segi suspensi, WMOTO NX150S menggunakan fork teleskopik di bahagian hadapan dan penyerap hentak berkembar di bahagian belakang, yang memberikan keseimbangan antara keselesaan dan kestabilan ketika tunggangan di bandar. Sistem brek pula terdiri daripada cakera tunggal di hadapan dan belakang, yang dipadankan dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dwi-saluran bagi meningkatkan tahap keselamatan ketika membrek. WMOTO NX150S menggunakan tayar bersaiz 130/70-13 di hadapan dan belakang, yang dipasang pada rim aluminium, bagi memberikan kestabilan dan cengkaman yang baik. Dari segi dimensi, skuter ini berukuran 1,954 mm panjang, 780 mm lebar dan 1,162 mm tinggi, dengan jarak roda 1,363 mm, ketinggian tempat duduk 758 mm serta kelegaan tanah 90 mm. Skuter ini mempunyai berat bersih 132 kg, menjadikannya mudah dikendalikan dan sesuai untuk kegunaan harian di kawasan bandar. Bagi ciri kemudahan dan teknologi, WMOTO NX150S dilengkapi dengan paparan meter LCD, sistem kunci pintar serta port pengecasan USB jenis Type-A dan Type-C. Ciri keselamatan dan kemudahan lain termasuk suis keselamatan tongkat sisi, tuil brek boleh laras serta Traction Control System (TCS) yang boleh dinyahaktifkan. Sistem pencahayaan skuter ini menggunakan lampu LED sepenuhnya yang merangkumi lampu isyarat, lampu kecemasan, lampu hadapan dan lampu belakang. Bagi menambah kepraktisan, ia turut dilengkapi cangkuk tersembunyi, ruang simpanan hadapan, serta ruang simpanan bawah tempat duduk berkapasiti 19 liter untuk menyimpan barangan harian. Skuter ini juga didatangkan dengan pelindung angin untuk meningkatkan keselesaan tunggangan serta menggunakan bateri 12V7Ah bagi menyokong sistem elektroniknya. Dengan gabungan ciri praktikal, teknologi moden serta harga yang kompetitif, WMOTO NX150S menawarkan sebuah skuter lengkap yang direka untuk memenuhi keperluan mobiliti harian penunggang di Malaysia. Dengan setiap pembelian mana-mana model WMOTO NX150S, para pembeli boleh menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 km (yang mana tiba dahulu) dan perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. Galeri foto