Tiga pasukan perlumbaan tempatan akan bersaing dalam Kejohanan PETRONAS Cub Prix Malaysia 2026 dalam kategori Pro-Am, dengan mereka menggunakan VOGE FR150. Ia juga bukan musim sulung FR150 dalam perlumbaan Cub Prix. Malah, prestasinya telah terbukti dengan meraih beberapa kedudukan podium pada musim sulungnya tahun lalu. Jadi pada tahun ini, ia akan menjadi kuasa yang perlu ditangani. Pengumuman itu dibuat oleh Asri Ahmad, Ketua Pegawai Operasi Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd., semasa majlis pelancaran pasukan TW Racing Team baru-baru ini. Menurutnya, penyertaan ketiga-tiga pasukan ini mencerminkan keyakinan yang tinggi terhadap prestasi dan keupayaan VOGE FR150. Jentera ini berada pada kedudukan yang baik untuk memberikan persaingan sengit dan mencapai keputusan cemerlang dalam Kejohanan Cub Prix Malaysia 2026. Pasukan-pasukan yang akan menggunakan VOGE FR150 adalah: KBG Motorsports. TW Racing Team. 74 Racing Team. Penyertaan ini juga akan menyaksikan seramai tujuh pelumba berbakat mewakili ketiga-tiga pasukan, yang akan menghadapi cabaran di atas VOGE FR150. Gabungan kepakaran pasukan dan potensi pelumba dijangka memberikan persembahan yang sangat kompetitif sepanjang musim. Penglibatan ini seterusnya menonjolkan potensi kuat VOGE FR150 sebagai jentera berprestasi tinggi yang mampu bersaing di peringkat tertinggi dalam MCP 2026, yang akan berlangsung sebanyak lapan pusingan. Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. merakamkan penghargaan kepada semua pasukan yang terlibat atas komitmen dan kepercayaan mereka. Syarikat ini, bersama-sama peminat sukan permotoran tempatan, mengucapkan selamat maju jaya kepada semua pasukan dan tidak sabar untuk melihat mereka memberikan persembahan cemerlang sambil mencipta nama di pentas perlumbaan.