Kemenangan MODENAS Z15GT sebagai Kapcai Terbaik 2026 dalam Anugerah Motosikal Terbaik Allianz Malaysia 2026 membuktikan kejayaan pengeluar motosikal nasional itu dalam segmen kapcai 150cc. Dalam kategori yang sangat kompetitif yang menekankan sifat sporty (dalam maksud lain: kelajuan maksimum), Z15GT berjaya menonjol sebagai yang terbaik, dengan menewaskan pesaing-pesaing utama yang sekian lama bertapak. Sejak dilancarkan pada Oktober 2025, Z15GT telah pantas menarik perhatian pasaran Malaysia dengan spesifikasinya yang mengagumkan, termasuk enjin disejukan cecair 149.5cc yang berkuasa menghasilkan 16.76 hp dan tork 13.5 Nm, digandingkan dengan transmisi manual enam kelajuan dan ABS saluran tunggal. Kemenangan anugerah ini menonjolkan penerimaan meluas terhadap model tersebut, dengan Modenas melaporkan permintaan kukuh sehingga tempahan mencecah 10,000 unit sejurus selepas pelancaran. Dengan menggabungkan gaya rekabentuk sporty “supercub” dan ciri-ciri moden seperti lampu LED penuh dan sistem tanpa kunci, Z15GT berjaya mencipta hala tersendiri, membuktikan bahawa model yang dibangunkan dan direka bentuk secara tempatan mampu berdiri setanding dengan pesaing sedia ada dan mendapat sambutan hebat daripada penunggang Malaysia. Di sisi lain, ini merupakan petanda positif untuk jenama motosikal Malaysia kerana jelas bahawa pengeluar tempatan mampu memberi saingan sengit kepada jenama sedia ada. Selain itu, motosikal ini bersama beberapa buah motosikal buatan tempatan yang lain menunjukkan semangat patriotisme pembeli tempatan. Galeri foto