Cadangan kerajaan untuk memberikan pengecualian cukai import, eksais dan cukai jalan kepada kenderaan elektrik seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2022 Oktober lalu, disambut baik oleh syarikat pengeluar dan pengguna. Model pertama yang diperkenalkan selepas itu, Hyundai Kona Electric, telah memanfaatkan kelebihan ini dan tercermin daripada harga yang dikenakan.
Bagaimanapun, harga bukanlah satu-satunya perkara yang akan mempengaruhi penerapan penggunaan umum terhadap EV. Ada banyak perkara lain mempengaruhi, misalnya pengilangan dan pemasangan EV dan prasarana pengecasannya. Dan, menurut pemerhati industri, tanpa kerangka dasar yang jelas, Malaysia akan terus ketinggalan dalam penerapan berkenaan, lapor The Edge.
Menurut presiden Kelab Pemilik Kereta Elektrik Malaysia, Datuk Shahrol Halmi, walaupun pengecualian cukai akan membantu meningkatkan permintaan dan menggalakkan pelaburan terhadap pembangunan prasarana pengecasan pantas, tempoh kelayakan dua tahun yang dikenakan tersebut akan menghalang pemain luar untuk masuk ke sini. “Had dua tahun itu akan menghalang syarikat seperti Tesla untuk masuk, dan ini merugikan, memandangkan mereka cemerlang dalam membangunkan prasarana pengecasan,” jelas beliau.
Tesla sudah pun mempunyai kehadiran di rantau Asia Tenggara di Singapura, di mana syarikat itu menjual Model 3 dan mengendalikan tiga stesen pengecasan pantas Supercharger. Walaupun stesen berkenaan hanya terhad untuk kenderaan Tesla sahaja, syarikat itu merancang untuk berlahan-lahan membuka rangkaian Supercharger itu untuk EV lain, dan telah menjalankan program ujian di Norway.
Ini ditambah dengan tiada arah tuju jelas berkaitan prasarana pengecasan. Walaupun kerajaan telah menyediakan pelepasan cukai sehingga RM2,500 bagi individu yang membeli pengecas untuk di rumah, masih belum tahu sama ada syarikat penyedia juga akan diberi insentif untuk melabur dalam membangunkan stesen pengecasan awam.
Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad pula menyatakan yang pihaknya berterima kasih terhadap pengecualian cukai yang diberikan itu, yang akan menjadi pemangkin kepada pengeluar untuk memasang EV di Malaysia. “Bagaimanapun, pembangunan prasarana dan ketersediaan stesen pengecasan juga mesti dibangunkan dan ada di seluruh Malaysia,” ujarnya.
Mungkin hal yang sedikit baik daripada semua ini adalah kita sudah ada pergerakan berkaitan itu, dengan ironinya syarikat petroleum yang menjadi pelopor. Shell bekerjasama dengan Porsche dan BMW untuk memasang stesen pengecasan pantas di sepanjang Lebuhraya PLUS untuk memenuhi keperluan penggguna. Petronas juga melakukan hal sama dengan Mercedes-Benz. Kedua-duanya dijangka selesai menjalankan ujian tersebut pertengahan tahun depan.
Pengarah Eksekutif Eclimo, sebuah pengeluar motosikal elektrik dan bateri, Datuk Dennis Chuah berkata, pengilangan kenderaan elektrik akan memerlukan “teknologi perubahan baru” dan berpotensi membentuk semula beberapa industri dan mewujudkan peluang ekonomi.
“EV tidak sama dengan kenderaan enjin biasa. Sebahagian besar kenderaan ini terdiri daripada komponen elektrikal dan teknologi. Untuk menyokong ini, Malaysia memerlukan lebih banyak orang dalam kajian, kejuruteraan, kepakaran teknologi inovatif serta pembangunan rekaan kenderaan dan teknologi bateri.
“Pendidikan memainkan peranan penting. Kita perlu fokus terhadap latihan dan meningkatkan kemahiran pekerja dalam sektor automotif untuk bersedia bekerja dengan teknologi akan datang,” jelas beliau, dan menambah bahawa kerajaan perlu mempertimbangkan dasar dan geran R&D bagi menggalakkan usahawan dan pengilang untuk ikut serta dalam pembangunan e-mobiliti.
Laporan tersebut juga menyebut bahawa dasar EV yang jelas juga perlu mengikut-sertakan sebuah garis masa untuk kerajaan menghentikan pengeluaran kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman, seperti yang telah dipersetujui oleh banyak negara ketika ini. Shahrol setuju, bahawa Malaysia perlu mendidik warga umum tentang kos subsidi minyak dan mewujudkan sebuah pelan untuk perlahan-lahan menaikkan harganya agar orang tidak lagi menggunakan kenderaan enjin konvensional. “Ini boleh dimulakan dengan mengenakan cas bagi kenderaan dengan enjin konvensional jika memasuki pusat bandar, serta adakan garis masa untuk melaksanakan cukai karbon, mungkin bermula dari tahun 2025.”
Aishah pula bagaimanapun berpendapat mengharamkan terus kenderaan dengan enjin konvensoional bukanlah satu idea yang bagus dan akan menyusahkan kerajaan dalam pilihanraya, memandangkan kumpulan berpendapatan rendah masih perlu mengakses kenderaan yang lebih mampu milik tersebut.
Cadangan pengecualian cukai tersebut telah menjadi pemangkin kepada perkembangan menggalakkan dalam sektor automotif, dengan syarikat seperti Mercedes-Benz mengumumkan barisan kenderaan EV mereka akan memasuki pasaran di sini bermula tahun depan. Bagi pengeluar kenderaan tempatan, Proton juga telah mengesahkan pembangunan kenderaan dengan teknologi hibrid, plug-in hybrid dan EV penuh, sementara Perodua kini sedang menjalankan kajian pasaran terhadap kenderaan hibrid.
Keyword: Malaysia tiada dasar EV jelas selain kecualikan cukai